Selamat tahun baru kepada semua rakan dan kenalan. 2025, Malaysia semakin menghampiri menyambut Jubli Emas bagi pengamalan secara rasmi sistem kewangan & perbankan Islam yang telah bermula pada tahun 1983 (IBA 1983, digantikan dengan IFSA 2013). Malaysia telah menjuarai industri Kewangan Islam dan Halal untuk lebih satu dekad. Malaysia juga telah melahirkan ramai cendekiawan muda syariah yang berbakat dan menyumbang dalam perkembangan pasaran patuh syariah.
Namun begitu, masyarakat awam masih tidak dapat mengenalpasti dan menjelaskan keperluan kewangan & perbankan islam. Masih ramai yang menganggap perbankan konvensional dan perbankan Islam serupa sahaja termasuklah ejen/perunding hartanah, takaful, bank, dll bahkan asatizah yang sepatutnya menjadi frontliner dalam memberikan maklumat berkaitan ini. Program awareness banyak dijalankan, latihan kepada ejen/perunding telah dilaksanakan, ceramah, khutbah, upskilling, semua telah diusahakan. Mengapa hal ini terjadi? Dimana silapnya?
Antara sebab mengapa masyarakat awam masih tidak dapat mengenalpasti dan menjelaskan keperluan kewangan & perbankan islam adalah tidak memahami secara keseluruhan operasi. Masyarakat secara umumnya hanya melihat kepada angka yang tertera di dokumen perjanjian. Sebagai contohnya, kadar keuntungan dan kadar faedah di mata masyarakat adalah sama dan hanya menukar istilah. Masyarakat tidak tahu (atau tidak mahu tahu, atau buat tak tahu) operasi disebaliknya, seperti kadar faedah berasaskan pinjaman adalah riba dan tidak patuh syariah manakala kadar keuntungan adalah berasaskan jual beli dan halal. Bank tetap mendapat keuntungan, namun caranya berbeza (Halal dan Haram). Begitu juga perbezaan insuran konvensional yang berasaskan untung nasib seperti perjudian dengan takaful yang berasaskan tolong menolong (Ta'awun) akad tabarru'. Pegawai bank, ejen/perunding perlulah menjelaskan sehingga masyarakat faham berkenaan ini supaya tiada kekeliruan.
Sebab lain adalah perbankan islam dilihat zalim. Hal ini kerana di mata masyarakat perbankan Islam seharusnya membantu masyarakat, bukan mengaut keuntungan seperti bank konvensional, malah di sesetengah perbankan Islam harga kos lebih mahal berbanding bank konvensional. Masyarakat menganggap ini sebagai satu bentuk kezaliman, dan tidak selari dengan prinsip keadilan dalam Islam. Walaupun hakikatnya transparency perbankan Islam lebih jelas, tiada hidden cost namun oleh kerana masyarakat hanya melihat sekilas pandang (dan tanpa pengiraan tepat), ia kelihatan zalim. Antara sisi baik perbankan Islam yang tidak diketengahkan adalah menghadkan peratusan keuntungan (ceiling rate) yang mana jika berlaku kenaikan OPR, kenaikan jumlah hanya akan terhenti pada had maksimum. Caj lewat bayar di perbankan Islam juga dihadkan kepada satu peratus sahaja dan tiada compounding effect seperti perbankan konvensional yang jelas menindas dan berlaku zalim secara terang-terangan. Mungkin bagi masyarakat awam ini kurang bermakna berbanding menjual pada harga kos tanpa keuntungan. Masyarakat awam menganggap perbankan Islam perlu berperanan seperti badan kebajikan.
Antara sebab lain adalah inflasi. Di mata penggemar Bitcoin, perbankan konvensional dan perbankan Islam tetap menyumbang kepada inflasi oleh kerana dakwaan bank berkemampuan untuk mencipta/mencetak duit (wang kertas - fiat money) atas angin (tanpa sandaran nilai sebenar). Oleh itu, penggunaan duit kertas ini terdedah kepada risiko inflasi yang menyumbang kepada masalah ekonomi, dan tidak selari dengan objektif syariah (Maqasid Syariah). Tambahan pula, duit kertas ini berisiko berlaku penipuan dan jenayah (wang palsu, money laundering, dll). Hal ini berbeza dengan penggunaan Bitcoin yang tidak boleh dicipta baru oleh kerana jumlahnya dihadkan hanya kepada 21 Juta. Setiap transaksi Bitcoin juga dicatatkan pada setiap lejer dan setiap penggunanya mempunyai rekod. Keabsahan transaksinya hampir mustahil untuk ditipu. Fatwa berkenaan Bitcoin, para cendekiawan Syariah berbeza pandangan penggunaannya antara harus dan haram. Saya tidak berhajat untuk membahaskan perbezaan pandangan cendekiawan syariah pada penulisan ini kerana huraian bagi perbahasan panjang. Pendek kata, masalah inflasi boleh diatasi dengan penggunaan Bitcoin. Maka, bagi penggemar Bitcoin, Bitcoin adalah lebih Patuh Syariah berbanding wang kertas. Bagi mereka, perbankan Islam tidak dapat atasi masalah inflasi dan tidak mencapai objektif syariah maka tiada keperluan penggunaannya.
Menghayati permasalahan inflasi ini membuatkan saya berfikir dan mencari solusi, namun masih belum menemuinya. Adakah wajar Bitcoin menggantikan wang kertas secara keseluruhan? Atau hanya sesuai sebagai mata wang kedua? Atau Bitcoin hanya sesuai diklasifikasikan sebagai asset, tetapi bukan wang? Saya tawaqquf dan serahkan kepada pakar untuk menyelesaikannya.
Berdasarkan pemerhatian saya, ini adalah antara sebab mengapa masyarakat awam masih tidak dapat mengenalpasti dan menjelaskan keperluan kewangan & perbankan islam. Tanpa menafikan kehebatan Malaysia dalam mempelopori sistem kewangan & perbankan Islam sehingga menjuarai peringkat global, namun masih banyak ruang kewangan & perbankan Islam yang boleh ditambahbaik. Setiap kritikan membina oleh masyarakat awam perlulah dihayati dan perlu berlapang dada untuk menerimanya. Kekurangan boleh ditambahbaik.
WallahuAlam.
==========
*Pandangan peribadi penulis.
